Bekas pengarah besar FELDA akan direman bantu siasat kes seleweng projek, jual tanah

Tarikh: 07/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah besar FELDA serta seorang lagi individu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan kebenaran perintah reman.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan jam 4 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Menurut sumber, mereka disyaki terbabit salah guna kuasa berhubung pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di ibu negara, selain urusan penjualan tanah milik badan berkanun berkenaan.

"Kedua-dua individu itu disyaki terbabit urusan penjualan tanah milik badan berkanun itu kepada syarikat yang ada kepentingan dengan syarikat pemaju tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah dan anak syarikat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

SPRM buka 7 kertas siasatan berkait FELDA

Minggu lalu, SPRM membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Abd Halim dilapor berkata penyiasatan khas berskala besar yang dinamakan sebagai OPS FELLA menumpukan kepada transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA dan FIC dalam tempoh 10 tahun iaitu antara 2010 hingga 2020.

Daripada jumlah itu, enam kertas siasatan baharu sudah dibuka pada 24 Ogos lalu, manakala satu lagi adalah kertas siasatan lama yang masih aktif dan sedang menjalani proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

Kertas siasatan berkenaan merangkumi isu pelaburan Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd yang berpusat di Limbang, Sarawak; pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Service Apartments di London.

Siasatan turut difokuskan kepada penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta dugaan penyelewengan dalam pembangunan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Satu kertas siasatan lama yang masih belum ditutup dan kini dalam proses MLA membabitkan hartanah Park City Grand Plaza turut diteliti semula secara selari, menjadikan keseluruhan kes yang dikaji beroperasi di bawah tujuh kertas siasatan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel