KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki termasuk bekas pengarah besar FELDA bergelar Datuk kerana disyaki terbabit penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.
Kedua-dua lelaki mereka berusia 60-an dan 50-an dipercayai ditahan jam 4 petang tadi ketika diminta hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Dua lelaki itu dipercayai terbabit pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di Kuala Lumpur.
Sumber berkata, kedua-dua mereka disyaki terbabit urusan penjualan tanah milik badan berkanun itu kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan syarikat pemaju.
Siasatan mendapati perbuatan itu dilaksanakan tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah dan anak syarikat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Beliau mengesahkan, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman.
Sumber : Berita Harian Online