PUTRAJAYA: Seorang bekas Pengarah Besar FELDA direman lima hari hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes salah guna kuasa dalam pelantikan pemaju sebuah projek di Kuala Lumpur dan menjual tanah agensi itu.
Majistret Ezrene Zakariah membenarkan individu terbabit direman selepas permohonan SPRM.
Lelaki berusia lewat 60-an itu tiba di kompleks mahkamah jam 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM.
Bagaimanapun, individu terbabit tidak memakai 'baju oren' lokap SPRM seperti mana kebanyakan kes sebelum ini sebaliknya mengenakan kemeja berkolar berwarna hijau.
Individu terbabit ditahan kira-kira jam 4 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
Siasatan tertumpu kepada dakwaan salah guna kuasa dalam pelantikan pemaju bagi satu projek di Kuala Lumpur, selain urus niaga membabitkan penjualan tanah milik FELDA.
Beliau adalah antara dua individu yang ditahan berhubung dakwaan ketidakaturan dalam penjualan tanah milik FELDA.
Mereka turut disyaki terbabit dalam penjualan tanah milik badan berkanun itu kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan berkaitan dengan pemaju berkenaan, yang didakwa dilakukan tanpa pengetahuan lembaga pengarah badan berkenaan serta anak syarikatnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan kesalahan berkaitan meminta, menerima, memberi atau menawarkan suapan sebagai dorongan atau ganjaran berhubung sesuatu transaksi atau perkara.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 16, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 24 akta sama.
Sumber : Berita Harian Online