TAWAU: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini, melepas dan membebaskan seorang anggota polis daripada tiga pertuduhan rasuah dan tiga pertuduhan alternatif tanpa perlu membela diri.
Hakim Jason Juga, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Abdul Halil Mohd Zin, 64, di akhir kes pendakwaan.
Beliau berkata, mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen-elemen pertuduhan yang diperlukan untuk mengekalkan pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 selain Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Justeru katanya, tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan dari semua pertuduhan tanpa perlu membela diri serta wang jaminan dikembalikan.
Seramai 27 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Abdul Halil, pada 20 Februari 2020, didakwa dengan 3 pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dengan tiga pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM2,800 daripada Helmi Abdul Hamid sebagai dorongan melepaskan sebuah kumpit membawa petrol untuk dieksport ke Filipina.
Tertuduh yang ketika itu berpangkat Sarjan Mejar didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) Pelabuhan Barter Trade Tawau dan sebuah hotel di sini antara November 2014 hingga Mac 2015.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Sumber: Berita Harian