Bekas Setiausaha KBS dijel 15 tahun, denda RM284.2 juta

Tarikh: 11/07/2023
img

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd dipenjara 15 tahun dan denda RM284.2 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 96 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, 11 tahun lalu.

 

Hakim Kamarudin Kamsun mensabitkan tertuduh atas 17 pertuduhan melibatkan tuntutan palsu, 15 pertuduhan salah guna kedudukan dan 64 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.

 

Kamarudin memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah selepas mendengar keterangan bersumpah saksi-saksi, meneliti eksibit dan hujahan bertulis kedua-dua pihak.

 

Mahkamah memerintahkan Otman dipenjara 243 tahun dan didenda RM190 juta bagi 17 kesalahan melibatkan tuntutan palsu.

 

Jika gagal membayar denda, bekas penjawat awam itu berdepan hukuman penjara 119 bulan.

 

Bagi 15 kesalahan salah guna kedudukan, Otman dipenjara berjumlah 85 tahun dan didenda RM10.8 juta atau dipenjara 125 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.

 

Kamarudin turut memerintahkan Otman dipenjara antara tiga bulan dan 11 tahun dan didenda berjumlah RM83.4 juta atau dipenjara 934 bulan, jika denda tidak dijelaskan.

 

Namun demikian, Otman hanya menjalani tempoh pemenjaraan selama 15 tahun selepas mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara tersebut berjalan serentak berkuat kuasa hari ini.

 

Kamarudin membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan membebaskan Otman dengan jaminan tambahan RM300,000. Sebelum ini, dia dibebaskan dengan jaminan RM250,000.

 

 

Sumber: KOSMO!

MACC FM
My Anti-Corruption Channel