KOTA BHARU: Bekas Timbalan Pengurus Besar Pembinaan TH Properties didakwa bersubahat melakukan pecah amanah dengan mengutip penalti RM14,000 membabitkan projek pembinaan bangunan komersial milik Lembaga Tabung Haji (TH).
Lelaki berkenaan, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan pada November 2017 dan Ogos 2018 itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dazuki Ali.
Dia didakwa bersubahat dengan Mohamad Hashim Mukhatap, 53, iaitu Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn Bhd melakukan pecah amanah dengan memasukkan wang RM14,000 ke dalam akaun bank milik Mohamad Hashim yang juga hasil kutipan penalti ke atas kontraktor, Kelpile Sdn Bhd.
Untuk rekod, TH Properties adalah anak syarikat TH, manakala THP Timur Sdn Bhd anak syarikat TH Properties.
la membabitkan projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat terdiri 244 pangsapuri perkhidmatan, empat pangsapuri eksklusif (penthouse, kemudahan awam dan ruang perniagaan.
Selain itu, tempat letak kereta, aras bawah tanah tambahan dan kemudahan berkaitan di atas Lot 273, Seksyen 12, Kota Bharu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Sofea Residensi, Seksyen 12, dekat sini, antara 15 November 2017 dan 8 Ogos 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 20 tahun dan sebat serta denda.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmah Che Wan, manakala tertuduh diwakili peguam, Fahmi Abd Moin.
Fahmi memohon jaminan RM5,000 memandangkan anak guamnya kini bekerja sendiri dengan pendapatan RM5,000, selain perlu menyara enam anak serta mempunyai penyakit kencing manis dan jantung
Mahkamah menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan, selain tidak mengganggu saksi.
Mahkamah turut menetapkan 19 Oktober untuk sebutan semula kes.
Sumber : Berita Harian Online