JOHOR BAHRU: Seorang ahli perniagaan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa.
Individu berkenaan yang juga merupakan bekas Yang DiPertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor dilihat tiba di pekarangan pejabat SPRM Johor pada pukul 9.35 pagi, hari ini.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan bekas ahli DPMM Johor membuat laporan kepada SPRM berhubung penjualan tanah dan wang pampasan yang diterima pada 2013.
Menurut laporan tersebut, ia merupakan hasil daripada tuntutan saman DPMM Johor ke atas kerajaan negeri pada tahun 2009.
Difahamkan, pengurusan tertinggi DPMM Johor tidak pernah memberi maklumat terperinci mengenai penyaluran keluar masuk wang pampasan tersebut sehingga beliau dilucut jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa DPMM Johor pada 2019.
Sementara itu, pegawai SPRM yang dihubungi bagi mengesahkan kejadian itu enggan mengulas lanjut.
Dalam pada itu, DPMM Pusat menerusi satu kenyataan media hari ini memaklumkan pihaknya mengutamakan integriti dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana penyalahgunaan kuasa di dalam persatuan, walaupun kes tersebut berlaku sekitar tahun 2013.
Menurut kenyataan tersebut, langkah awal yang diambil pihaknya adalah untuk melakukan siasatan dalaman terhadap perjalanan pentadbiran DPMM Pusat dan DPMM negeri-negeri yang lalu.
Mengulas mengenai kes bekas Yang DiPertua DPMM Johor yang dipanggil SPRM bagi merekodkan keterangan pagi tadi, pihaknya menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada SPRM.
Sumber: Utusan Malaysia