Belanjawan 2026 perlu berintegriti, perkasa agensi penguatkuasaan - Azam

Tarikh: 10/10/2025
img

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Perdana Menteri esok diharap akan memperlihatkan ketegasan kerajaan menangani isu integriti, rasuah serta memperkasakan peranan agensi penguatkuasaan di seluruh negara.

Dalam mencapai semangat itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, turut komited untuk memastikan agensinya terus berusaha mengembalikan wang milik kerajaan yang hilang kepada rakyat.

Katanya, ketegasan kerajaan dalam isu integriti, rasuah dan memperkasakan agensi penguatkuasaan termasuk SPRM menjadi aspirasi untuk kesemua agensi itu bergerak bersama.

"Pada awal tahun ini, saya umumkan tumpuan SPRM adalah untuk mengurangkan ketirisan serta menumpukan kepada kes-kes bersindiket dan berprofil tinggi yang membabitkan kerugian kewangan besar kepada negara.

"Malah strategi SPRM tahun ini juga berpaksikan usaha memulihkan dana awam yang hilang atau dicuri, sejajar dengan komitmen SPRM untuk membanteras rasuah secara sistematik dan berkesan.

"Negara juga kerugian RM277 bilion dalam tempoh lima tahun akibat jenayah rasuah dan jumlah itu begitu besar bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia," katanya ketika merasmikan Konvensyen Usaha Pemantapan Integriti dan Pencegahan Rasuah – Suatu Realiti atau Retorik? anjuran Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR) di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden PAKAR, Nasir Hadi; Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) merangkap Penasihat PAKAR, Datuk Seri Shamshun Bahrin Mohd Jamil; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail dan mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Mengulas lanjut, Azam turut menyeru semua pihak memberikan sokongan dalam menjayakan inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC) yang dilancarkan pada 1 Oktober lalu dalam usaha membina budaya masyarakat yang menolak rasuah.

"Ia sekali gus membangunkan negara yang merdeka, harmoni dan bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa," katanya.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel