SHAH ALAM: Polis belum mendapat keterangan dan bukti yang boleh mengesahkan dakwaan berhubung pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacu senjata dalam kes serbuan dan penahanan ahli perniagaan, Albert Tei, di rumahnya di Puchong pada 28 November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata pihaknya mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima laporan daripada seorang wanita yang juga isteri ahli perniagaan itu pada 28 November lalu.
Katanya, pengadu mendakwa pasukan penguat kuasa SPRM menyerbu kediaman dan menangkap suaminya mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
"Pengadu turut mendakwa anggota SPRM mengacukan senjata ke arah dirinya dan suami ketika serbuan.
"Sehingga hari ini, siasatan pihak polis tidak menemui keterangan atau bukti mengesahkan dakwaan pengadu.
"Ramai saksi sudah dipanggil bagi dirakam keterangan dan membantu siasatan, cuma saya tidak boleh dedahkan jumlahnya sekarang dan saya mohon bagi ruang kepada polis selesaikan siasatan.
"Cuma ahli keluarga pengadu yang belum beri keterangan kerana dipercayai berada di luar kawasan selepas kejadian tetapi mereka sudah memberi komitmen untuk datang apabila dipanggil kelak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Shazeli berkata, polis turut menerima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman terbabit dan rakaman perbualan telefon yang sudah diserahkan kepada pihak forensik untuk analisis.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah rakaman CCTV yang diterima.
"Rakaman memang wujud tetapi saya tidak boleh dedahkan sekarang. Kami juga akan memanggil semula pengadu (isteri Albert Tei) bagi keterangan lanjut," katanya.
Shazeli berkata, pihaknya turut membuka satu kertas inkuiri polis bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Mengikut laporan sebelum ini, pegawai SPRM yang menyerbu kediaman Tei dilengkapi kamera badan termasuk alat rakaman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata, laporan polis dibuat berhubung tuduhan itu yang disifatkan sebagai fitnah terhadap agensi berkenaan.
Sumber : Berita Harian Metro