JAKARTA: Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan telus berhubung
tindakan empat Ahli Parlimen BERSATU yang mengisytiharkan sokongan kepada
kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pesuruhjaya
SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya juga akan menyiasat secara teliti bagi
memastikan kesahihan dakwaan wujud unsur habuan dan ugutan di sebalik peralihan
sokongan itu.
Empat Ahli Parlimen
BERSATU yang kini menyokong pimpinan Perdana Menteri adalah Ahli
Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Suhaili
Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Ahli Parlimen
Jeli, Zahari Kechik.
Kesemua
mereka menolak dakwaan BERSATU kononnya mereka ditawarkan habuan atau
diugut untuk menyokong Perdana Menteri.
Dakwaan itu turut
dinafikan pemimpin kerajaan.
Bagaimanapun, Ahli
Parlimen Machang yang juga Ketua Sayap Pemuda Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan
Ahmad membuat laporan polis yang mengetengahkan dakwaan berkenaan.
”Report dah buat dan
polis dah inform by polis laporan berkaitan itu akan diserahkan
kepada SPRM kerana unsur itu rasuah samada berlaku atau
tidak, kita siasat. Kita siasat at every corner termasuk kes dulu di
mana ada mp dahulu dikatakan melompat so kalau siasat semua sekali dan keadilan
semua buat masa ini, kita tunggu laporan ni sampai hari ni dan arahkan
siasatan terbuka dijalankan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau berkata
demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Antirasuah
Sedunia (WACC) 2023 di sini, hari ini.
Azam turut ditanya
sama ada SPRM akan turut menyiasat Ahli Parlimen yang dikaitkan dengan
langkah Sheraton pada 2020 yang diselubungi dakwaan ahli politik ditawarkan
pelbagai habuan.
Episod itu menyaksikan
sejumlah Ahli Parlimen lompat parti, sekali gus menumbangkan kerajaan Pakatan
Harapan untuk diganti dengan Perikatan Nasional dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin
sebagai Perdana Menteri pada 2020.
"Saya
tak tolak kemungkinan saya akan minta pegawai panggil mana yang perlu,”
ujarnya.
Sumber: Buletin TV3