KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak semakan kehakiman dikemukakan BERSATU bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan dan menyita dua akaun bank parti itu, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati BERSATU dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, gagal membuktikan keputusan SPRM itu tidak mematuhi prosedur yang diwajibkan oleh undang-undang, tidak sah, tidak rasional serta berniat jahat.
"Saya tidak berpendapat bahawa mana-mana perkara berkenaan telah berjaya dibuktikan.
"Oleh itu, berdasarkan alasan ini, permohonan pemohon (BERSATU) dalam semakan kehakiman ini adalah ditolak," katanya.
BERSATU mendakwa bahawa pada 12 dan 13 Januari 2023, akaun bank CIMB dan AmBank parti itu disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
BERSATU mendakwa pada 19 April 2023, akaun bank CIMB dan AmBank parti itu disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Aliza yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, dalam penghakimannya berkata, siasatan terhadap Muhyiddin bermula 12 Januari 2023, manakala perintah pembekuan dikeluarkan pada 12 dan 13 Januari tahun sama.
Beliau bersetuju dengan pendirian SPRM bahawa perintah pembekuan bertujuan menghalang dana yang sedang disiasat itu daripada dilupus atau dipindahkan.
Katanya, mahkamah juga berpuas hati bahawa siasatan berhubung suatu aktiviti menyalahi undang-undang telah dimulakan terhadap Muhyiddin dalam kapasiti beliau sebagai Presiden BERSATU.
Bagaimanapun, Aliza menolak hujahan responden bahawa keputusan yang dibuat ketika siasatan jenayah adalah kebal daripada semakan kehakiman.
Beliau memutuskan bahawa keputusan siasatan boleh, dalam keadaan yang sesuai, tertakluk kepada semakan kehakiman, khususnya apabila terdapat dakwaan niat jahat.
Mahkamah juga tidak bersetuju dengan hujahan responden bahawa prosiding jenayah yang sedang berjalan terhadap Muhyiddin, menghalang Mahkamah Tinggi daripada meneliti kesahan perintah pembekuan dan penyitaan terbabit.
"Adalah suatu fakta bahawa setakat hari ini, perbicaraan terhadap Tan Sri Muhyiddin bagi pertuduhan jenayah sudah bermula.
"Namun, keadaan itu dengan sendirinya tidak menghalang mahkamah ini daripada menjalankan semakan kehakiman terhadap perintah pembekuan dan perintah penyitaan ke atas akaun bank berkenaan," katanya.
Berhubung cabaran Muhyiddin terhadap sekatan perjalanan yang dikenakan ke atasnya pula, Aliza memutuskan bahawa SPRM berhak meminta Jabatan Imigresen mengenakan larangan perjalanan bagi memastikan siasatan jenayah dapat dijalankan tanpa gangguan.
Beliau menerima bahawa Jabatan Imigresen telah menggunakan budi bicara statutori yang diperuntukkan bawah Akta Imigresen ketika mengenakan sekatan itu.
Pada 30 Oktober 2023, mahkamah membenarkan BERSATU - melalui pegawai awamnya, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, dan Muhyiddin - memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM membekukan dua akaun parti berkenaan.
Ia menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) ketika itu, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; dan Ketua Pengarah Imigresen ketika itu, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, sebagai responden pertama hingga keempat.
Pemohon turut menamakan 16 yang lain sebagai responden keenam hingga ke-20.
Menerusi permohonan itu, BERSATU mendakwa tindakan membekukan akaun CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank milik parti itu dilakukan dengan niat jahat.
BERSATU mendakwa tindakan itu adalah penyalahgunaan kuasa dan proses undang-undang dalam merencanakan siasatan serta pemangsaan politik terpilih terhadap kepimpinan BERSATU, Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.
Pemohon mendakwa bahawa Muhyiddin turut dikenakan larangan perjalanan oleh responden keempat bagi mencemar nama baik dan seolah-olah beliau melakukan kesalahan serta akan melarikan diri.
Sehubungan itu, pemohon memohon perisytiharan mahkamah terhadap SPRM bahawa suruhanjaya itu tidak boleh mengikut arahan pemimpin parti pemerintah yang berada dalam kerajaan atau mengikut arahan perdana menteri dan timbalan perdana menteri dengan meminta pegawai SPRM memulakan siasatan terhadap parti, yang menyebabkan keluarnya perintah pembekuan yang didakwa salah.
BERSATU juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan perintah pembekuan yang dikeluarkan ke atas parti itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Ia turut memohon perisytiharan bahawa BERSATU sebagai parti politik yang berdaftar secara sah, mempunyai hak dilindungi mengikut Perlembagaan Persekutuan dan hak asasinya tidak boleh dilanggar secara salah untuk tujuan kolateral.
Sumber : Berita
Harian Online