Buat tuntutan palsu RM1,855, pengurus anak syarikat TNB didenda RM30,000

Tarikh: 09/12/2025
img

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM30,000 ke atas seorang pengurus kepada anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB) selepas bersalah mengemukakan tuntutan elaun penginapan dan saraan palsu berjumlah RM1,855, lima tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas Norhayati Hamzah, 54, dan memerintahkan wanita itu dipenjarakan enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam S Preakas yang mewakili Norhayati untuk menangguhkan pembayaran denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Rosli menetapkan syarat jaminan dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan disenaraihitamkan ke luar negara.

Mengikut pertuduhan pilihan, Norhayati didakwa menggunakan empat dokumen palsu mengandungi tuntutan elaun penginapan dan saraan antara 22 Disember 2019 hingga 5 Februari 2020 berjumlah RM1,855 yang diserahkan kepada Pengurus Jabatan Audit dan Pematuhan di syarikat itu, Mohd Kamal Zulkawi.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat TNB Power Generation Sdn Bhd di Bangunan Penjanaan, Jalan Bangsar di sini antara 17 Januari hingga 26 Februari 2020.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman memohon hukuman berat mengambil kira keseriusan kesalahan itu.

Bagaimanapun, Preakas memohon hukuman denda kerana wanita itu mempunyai enam anak dan ia kesalahan pertamanya.

Perbicaraan bermula pada 2022 membabitkan 17 saksi pendakwaan dan dua pembelaan termasuk wanita itu.


Sumber– BERNAMA

MACC FM
My Anti-Corruption Channel