Budaya 'duit upah' boleh jadi benih amalan rasuah - SPRM

Tarikh: 06/10/2025
img

KUALA LUMPUR: Budaya memberi 'duit upah' atau menutup kesalahan dengan ganjaran kecil, mungkin tampak remeh tetapi hakikatnya ia boleh menjadi benih amalan rasuah yang merosakkan generasi akan datang.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib, berkata pembentukan nilai integriti perlu bermula dari rumah dan diperkuatkan pada setiap lapisan masyarakat.

"Ibu bapa perlu mendidik anak-anak sejak kecil mengenai nilai jujur serta amanah. Jangan biasakan mereka dengan 'duit upah' atau duit 'cover' salah untuk menutup kesalahan dengan ganjaran.

"Budaya memberi upah untuk mendapatkan 'cable' juga perlu dihentikan kerana dari situlah lahirnya budaya rasuah secara tidak sedar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Desa Bebas Rasuah 2025 di Dataran Kamara, Kampung Malaysia Raya di sini, hari ini.

Mohamad Zakkuan berkata, rasuah tidak hanya berlaku di pejabat atau dalam urusan perniagaan, tetapi juga bermula dengan tindakan kecil yang akhirnya masyarakat menormalisasikan perbuatan salah.

"Rasuah ini ibarat api. Kecil nampak seperti boleh dikawal tetapi apabila dibiarkan, ia akan marak membakar rumah, kampung, malah seluruh negara.

"SPRM boleh menyiasat dan mendakwa tetapi tanpa sokongan masyarakat, perjuangan ini tidak akan berjaya. Komuniti adalah benteng paling hadapan dalam membina generasi berintegriti," katanya.

Sepanjang empat bulan mengetuai SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan berkata, pihaknya melihat ada peningkatan laporan daripada orang awam hasil usaha turun padang dan penerangan mengenai skim honorarium kepada pemberi maklumat yang membantu kes hingga sabitan.

Beliau menegaskan perjuangan menolak rasuah perlu digerakkan bersama, bermula dengan setiap individu.

"Integriti bermula daripada diri sendiri. Oleh itu, integriti bermula dengan huruf 'I'. Jika penjawat awam, pelajar dan pemimpin masyarakat bersih, maka masyarakat dan negara juga akan bersih," katanya.

Program hari ini turut disertai pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Bank Islam sebagai rakan strategik utama.

Antara pengisian program ialah forum antirasuah bertajuk 'Membina Generasi Tanpa Rasuah' yang menampilkan pelakon, Ebby Yus, serta tokoh masyarakat, Khairul Salleh Hasan, sebagai panel jemputan.

Selain itu, pertandingan mewarna kanak-kanak bertema integriti, pameran interaktif agensi, pemeriksaan kesihatan, Jualan Rahmah dan cabutan bertuah.

Sumber :Berita Harian online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel