KUALA LUMPUR: Tiga individu berprofil tinggi sektor korporat termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah bank pelaburan dijangka didakwa atas kesalahan rasuah di dua mahkamah berasingan di sini serta Negeri Sembilan esok.
Difahamkan, CEO itu dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berkaitan satu siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan nilai rasuah lebih RM130 juta.
Turut dijangka didakwa di mahkamah sama ialah seorang wanita bergelar Datuk yang juga pengarah sebuah syarikat.
Wanita berusia lingkungan 50-an itu sebelum ini pernah dikaitkan dengan sebuah pelaburan yang disiasat SPRM dan pernah dituduh di mahkamah atas kesalahan pecah amanah.
Seorang lagi membabitkan ketua pegawai kewangan (CFO) di institusi pengajian tinggi swasta di sebuah negeri di selatan tanah air dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di Negeri Sembilan.
BH difahamkan pertuduhan terhadap individu itu membabitkan nilai rasuah berjumlah RM6.56 juta.
Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada ketiga-tiga mereka ini disiasat atas kes pelaburan sama atau membabitkan siasatan baharu yang dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu, seorang pegawai kanan SPRM mengesahkan ketiga-tiga pertuduhan berkenaan kepada BH, namun tidak mengulas lanjut.
Sumber : Berita Harian Online