Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat konsesi lebuh raya yang ditahan pada 15 Julai lalu kerana disyaki menerima rasuah melebihi RM300,000 membabitkan pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai kira-kira RM6 bilion disambung reman tiga hari lagi.
Perintah sambung reman selama tiga hari mulai 20 sehingga 22 Julai ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya berikutan tempoh asal reman suspek tamat pada hari ini.
Pada 15 Julai lalu, SPRM menahan suspek kerana disyaki menerima rasuah melebihi RM300,000.
Menurut sumber, lelaki yang berusia sekitar 50-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Susulan penahanan itu, suspek di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada 16 Julai dan perintah reman selama empat hari sehingga hari ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
"Siasatan awal mendapati suspek menerima rasuah berjumlah melebihi RM300,000 daripada pemilik-pemilik syarikat bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM6 billion," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan sambungan tempoh reman itu dan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sumber: Harian Metro