Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan, tiga kod nama yang didakwa menjadi dalang dalam mengatur kaunter (counter setting) tiada kaitan dengan kegiatan itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata, perkara itu dimaklumkan pegawai risikan SPRM kepada beliau, pagi tadi.
"Semalam, saya maklumkan kepada wartawan yang menghubungi saya, saya tidak pernah dengar nama ini dan minta pegawai saya membuat pemeriksaan.
"Pagi ini, pegawai saya maklumkan, tiga kod nama ini tiada kena mengena dengan 'counter setting'.
"Saya tidak mahu tanya (lanjut), ini hak risikan tapi mereka laporkan, nama yang disebut di Parlimen tidak ada kena mengena dengan 'counter setting', katanya.
Semalam, ketika di Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa sebuah portal berita membekalkan pihak berkuasa dengan tiga nama 'yang didakwa sebagai "ikan besar" di sebalik kegiatan 'counter setting' untuk diambil tindakan oleh SPRM.
Ia susulan laporan portal itu yang mengatakan bahawa 'ikan besar' dalam skandal berkenaan masih tidak disentuh, di sebalik serbuan besar-besaran SPRM baru-baru ini, membabitkan tangkapan 49 pegawai imigresen dan seorang anggota polis.
Laporan itu, memetik seorang bekas pegawai imigresen yang mendakwa individu berkenaan dikenali sebagai Tok Yah atau Tok Ayah dan DK.
Sementara itu, mengenai elemen rasuah yang wujud dalam kegiatan pelacuran di bandar besar negara ini, Azam berkata, hasil siasatan pihaknya melalui operasi yang dijalankan mendapati, kegiatan itu sememangnya mendapat perlindungan daripada pihak penguatkuasa undang-undang di kawasan yang terbabit.
"Jika tidak (dapat perlindungan), bagaimana ia boleh berleluasa seperti dilaporkan, jadi kamu perlukan maklumat lebih lanjut, di mana dan sebagainya untuk membuat pengesahan.
"Jadi, jika ada mana-mana pihak yang sanggup datang memberikan maklumat lebih lanjut, kita akan mengaturkan tindakan bagi tujuan siasatan selanjutnya," katanya.
Sumber: Harian Metro