PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan maklumat baharu berhubung siasatan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Sik, Kedah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi berkata, berdasarkan siasatan setakat ini terdapat dapatan baharu lanjutan daripada penemuan terdahulu yang memerlukan tindakan lanjut SPRM.
Menurut beliau, SPRM masih giat melakukan siasatan meliputi isu-isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah terhadap individu dan agensi- agensi penguatkuasaan yang terlibat.
“Khidmat pakar juga turut digunakan bagi mengenal pasti tempoh masa serta kuantiti unsur nadir bumi yang disyaki telah dicuri berdasarkan ujian-ujian makmal,” katanya di sini hari ini.
Pada 25 September lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan SPRM sudah merekodkan kenyataannya mengenai siasatan mencuri unsur nadir REE di Sik.
Beliau berkata, proses tersebut lancar dengan kehadiran pegawai SPRM ke pejabatnya yang bertanyakan empat soalan.
Akhbar ini baru-baru ini melaporkan SPRM mengambil keterangan Menteri Besar itu di pejabatnya pada 17 September lepas bagi membantu siasatan kes kecurian REE di Sik.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu siasatan kes itu berada di peringkat akhir namun perlu melihat kepada beberapa perkara dalam konteks undang-undang.
Sumber: Utusan Malaysia