Seremban: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan mengesahkan sudah membuka satu kertas siasatan pada 2019 berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail berkata, siasatan berhubung isu berkenaan sudah selesai dijalankan pada 2019.
Beliau berkata, hasil siasatan tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah mengikut Akta SPRM 2009.
Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana pihak menghentikan sebarang spekulasi dan menyebarkan berita palsu berhubung perkara berkenaan sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah akaun Telegram baru-baru ini.
"SPRM Negeri Sembilan komited dalam usaha memerangi rasuah yang membabitkan dana awam di negeri ini.
"Oleh itu, siasatan lanjut akan dijalankan sekiranya terdapat maklumat baru yang diterima," katanya hari ini.
Sebelum ini, tersebar dakwaan di media sosial mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat MAINS yang membabitkan jutaan ringgit.
Difahamkan, pemilik Telegram berkenaan mendakwa SPRM sudah menerima maklumat berhubung perkara itu, namun sehingga kini tiada sesiapa yang ditahan.
Dakwanya, ia dipercayai disebabkan kerajaan Negeri Sembilan dan orang politik cuba melindungi perkara sebenarnya yang berlaku.
Sumber : Metro