KUALA LUMPUR: Tuduhan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes rasuah disifatkan sebagai fitnah dan tidak bertanggungjawab.
Justeru, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan itu.
"Ini individu yang tidak bertanggungjawab dan SPRM akan ambil tindakan undang-undang terhadap beliau.
"Ia satu fitnah dan beliau adalah penipu. Individu seperti inilah yang merosakkan kepercayaan masyarakat kepada SPRM," katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu video berdurasi 44 saat yang tersebar di Twitter memaparkan seorang lelaki mendakwa RM10 juta ditawarkan SPRM kepada Ketua Penerangan BERSATU itu.
Melalui klip video itu, lelaki terbabit mendakwa tawaran itu dibuat SPRM supaya Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menukar kenyataannya dengan mengatakan bahawa beliau menerima arahan daripada Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU untuk menerima wang rasuah.
Hari ini, Wan Saiful, 48, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Bagaimanapun, bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.
Dia juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.
Ia sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Sumber : Berita Harian