KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan menerima maklumat berhubung kebimbangan berkaitan kualiti anak benih sawit serta pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula tanaman sawit di FELDA Palong 7, Wilayah Raja Alias, Jempol, Negeri Sembilan.
Menurut SPRM, maklumat itu diterima daripada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi Palong (PERBAGI), Mohd Syahrizal Md Yusuf.
Ia dilihat sebagai laporan pertama selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menuntut setiap kelemahan dan permasalahan yang berlaku dalam pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) ditangani sepenuhnya.
SPRM berkata, maklumat itu membabitkan program pembangunan yang dilaporkan memberi manfaat kepada kira-kira 450 peneroka.
Maklumat itu antara lain adalah berkaitan pembekalan, penghantaran, penyimpanan, umur dan pematuhan spesifikasi anak benih sawit yang dibekalkan.
"SPRM mengambil maklum dakwaan serta kebimbangan yang dibangkitkan, dan akan meneliti maklumat terbabit bagi menentukan sama ada terdapat sebarang elemen yang mempunyai kaitan dengan kesalahan bawah bidang kuasa agensi ini.
"SPRM turut mengambil perhatian terhadap permohonan supaya aspek teknikal berkaitan kualiti dan pematuhan spesifikasi anak benih diperiksa oleh agensi teknikal yang berkaitan.
"Sebarang tindakan lanjut akan ditentu berdasarkan hasil penelitian dan maklumat yang diperoleh," katanya.
Mengulas lanjut, SPRM menegaskan penerimaan maklumat sedemikian tidak bermaksud mana-mana pihak dikesan sudah melakukan kesalahan.
"Ia tidak wajar dianggap sebagai satu kesimpulan terhadap mana-mana individu atau pihak yang terbabit," katanya.
Jumaat lalu, Anwar dilapor menegaskan setiap kelemahan dan permasalahan berlaku dalam pengurusan FELDA sebelum ini perlu disusuli tindakan tegas bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Perdana Menteri dipetik berkata, setiap penemuan dan kelemahan yang dikenal pasti perlu diperbaiki serta diikuti tindakan sewajarnya bagi memperkukuhkan tatakelola dan pengurusan FELDA.
Sumber : Berita Harian Online