Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meningkatkan usaha pemantauan dalaman dan melaksanakan latihan yang lebih intensif mengenai kepentingan integriti sebagai langkah untuk memerangi rasuah di organisasi itu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen pihaknya bagi memastikan setiap anggota penguat kuasa mempunyai pengetahuan dan kesedaran mendalam mengenai bahaya amalan rasuah serta cara-cara untuk mengelak dan melaporkan sebarang cubaan mencurigakan.
"Saya ingin mengingatkan kepada semua warga penguat kuasa bahawa rasuah adalah musuh negara.
"Ia bukan sahaja mencemarkan nama baik individu yang terbabit tetapi turut menjejaskan imej jabatan secara keseluruhan.
"Rasuah melemahkan keberkesanan sistem penguatkuasaan, menjejaskan keadilan dan meruntuhkan kepercayaan awam.
"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memerangi amalan ini dengan sepenuh hati," katanya semasa berucap semasa Sambutan Hari Penguat kuasa ke-55 di Menara Jabatan Penguatkuasa DBKL, hari ini.
Mengulas lanjut, Maimunah menggesa agar setiap anggota penguat kuasa DBKL untuk memperkukuh integriti dan akauntabiliti dalam setiap tindakan yang diambil.
"Saya menggesa semua anggota penguat kuasa untuk mematuhi kod etika yang ditetapkan dan sentiasa mengekalkan sikap telus dalam setiap aspek pelaksanaan tugas.
"Kita perlu memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil adalah berdasarkan prinsip keadilan, tanpa sebarang unsur berat sebelah atau pengaruh luar," katanya.
Maimunah turut memaklumkan, pengurusan DBKL bersetuju untuk menaikkan kadar elaun pangkat lokal anggota lain-lain pangkat bermula dari RM40 hingga RM120 sebulan sejak tahun lalu.
Katanya, tujuan peningkatan elaun ini adalah untuk meningkatkan motivasi dan sebagai menghargai anggota penguat kuasa.
Selain itu katanya, penambahbaikan dan perubahan bagi proses kerja di Jabatan Penguatkuasaan DBKL juga bakal dilaksanakan dengan menyusun atur penempatan serta penggiliran bertugas pegawai dan anggota di lapangan.
"Ia dengan penambahbaikan waktu bekerja bukan pejabat atau waktu bekerja secara syif.
"Melalui pelaksanaan sistem bekerja syif ini, pengurusan DBKL juga bersetuju dengan pemberian elaun syif pada kadar RM400 kepada gred 19 hingga 40 dan RM300 kepada gred 1 hingga 16.
"Semoga dengan pelaksanaan inisiatif ini, kita semua dapat memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai sebuah bandaraya bertaraf dunia, sebuah bandaraya yang bersih, selamat dan harmoni untuk didiami," katanya.
Sumber: Harian Metro