DBKL tegaskan tiada unsur rasuah, video tular pemulangan jagung disalah tafsir

Tarikh: 10/06/2026
img

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan rakaman video yang tular di media sosial yang mengaitkan kononnya anggota penguat kuasa melepaskan barangan sitaan kepada penjaja warga asing atas alasan menerima rasuah.

DBKL dalam kenyataan, berkata kejadian sebenar berlaku kira-kira jam 8 malam kelmarin di Jalan Bukit Bintang membabitkan seorang penjaja warga tempatan yang menjalankan aktiviti menjual jagung bakar tanpa lesen.

-Advertisement-

"Tindakan tegas diambil di bawah Undang-undang Kecil (UUK) 3(1) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, di mana petugas DBKL menyita peralatan utama perniagaan iaitu satu unit tong gas dan sebuah troli untuk dibawa ke stor sitaan.

"Mengenai tindakan menyerahkan semula kotak polistrin putih seperti yang tular dalam video, ia dilakukan selepas peniaga itu merayu untuk mendapatkan semula bahan makanan (jagung mentah) yang mudah rosak.

"Mengambil kira sifat bahan makanan terbabit, petugas memberikan amaran keras dan memulangkan kotak makanan berkenaan," kata kenyataan itu hari ini.

Bagaimanapun, DBKL memaklumkan tindakan undang-undang ke atas peralatan perniagaan yang lain tetap diteruskan secara konsisten.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak pernah bertolak ansur dalam menjalankan tugas demi kepentingan dan kesejahteraan orang ramai.

"Untuk rekod pada hari sama (rakaman tular), sebanyak lima kes sitaan dan empat notis kompaun dikeluarkan di kawasan sekitar," katanya.

Dalam pada itu, DBKL memandang serius tohmahan tidak berasas ini dan ingin menegaskan bahawa dakwaan terbabit adalah tidak benar sama sekali.

"DBKL menyeru supaya orang ramai menghentikan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan kredibiliti dan reputasi agensi serta menimbulkan salah faham," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang didakwa menunjukkan anggota penguat kuasa DBKL bertindak memulangkan semula sebuah kotak polistrin putih kepada seorang penjaja sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan netizen.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel