KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri memberitahu terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti semula berkaitan fungsi dan peranan Ombudsman Malaysia yang akan ditubuhkan nanti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana cadangan penubuhan ombudsman mempunyai sedikit persamaan dan pertindihan dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).
“Biro Pengaduan Awam (BPA) melaksana pelbagai inisiatif untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai badan bebas yang akan menerima dan menguruskan aduan berkaitan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam Persekutuan berdasarkan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
“Sebanyak tiga sesi libat urus dilaksana tahun ini iaitu agensi perkhidmatan awam Persekutuan dan badan bukan kerajaan pada 8 Mei 2023 (NGO) dan ahli-ahli Parlimen pada 14 Jun 2023.
“Hasilnya daripada sesi libat urus yang dilaksana, sebahagian besar pihak yang terlibat tidak mempunyai halangan berhubungan hasrat penubuhan Ombudsman Malaysia,” katanya semasa sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas berhubung penambahbaikan dan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), Azalina berkata, ia akan dibentang selewat-lewatnya pada November depan.
Katanya, kerajaan dalam proses akhir mendapatkan keputusan dasar berhubung beberapa cadangan pindaan yang diperoleh sebelum digubal oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Diharap supaya perlindungan kepada pemberi maklumat di bawah Akta 711 akan lebih komprehensif dan berkesan sekali gus membantu bagi menjayakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara yang bebas rasuah dan salah laku,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia