LABUAN: Seorang pegawai dan anggota penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah RM4,000 sebagai sogokan tidak mengambil tindakan terhadap suspek bagi kesalahan narkotik.
Sumber berkata, kedua-dua suspek terbabit ditahan kira-kira jam 3 petang tadi di Pejabat SPRM Labuan ketika hadir memberi keterangan.
"Pegawai dan anggota penguat kuasa yang bertugas di Cawangan Narkotik itu disyaki menerima wang sogokan RM3,000 menerusi mesin wang deposit, manakala baki selebihnya menerusi beberapa transaksi pindahan perbankan dalam talian.
"Transaksi itu dilakukan antara September 2022 hingga Mac 2023," katanya.
Pengarah SPRM Labuan, Datu Robbyie Shym Datu Pindatun ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Kedua-dua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Labuan esok bagi tujuan permohonan reman," katanya.
Sumber: Berita Harian