Dua anggota imigresen di KLIA direman kes rasuah bawa masuk warga asing

Tarikh: 21/08/2025
img

KUANTAN - Dua anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) direman selama tujuh hari sehingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah kira-kira RM400,000 sejak tahun 2022 hingga 2024 lalu.

Perintah reman ke atas kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 40-an yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dikeluarkan Majistret Wahidah Zainal Abidin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Suspek berjawatan Gred KP1 dan KP2 ditahan dalam satu operasi serentak sekitar Nilai, Negeri Sembilan dan Johor Bahru,Johor Isnin lalu.

Tangkapan itu susulan operasi SPRM bagi membanteras sindiket 'counter setting' di KLIA 1 dan 2 sebelum ini.

Sindiket itu dipercayai meraih wang rasuah ratusan ribu ringgit bagi membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara sejak tahun 2022 hingga 2024.

Susulan tangkapan itu, SPRM turut merampas sejumlah wang tunai dan membekukan beberapa akaun bank milik suspek.

Pengarah SPRM Negeri Pahang, Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain dalam sindiket berkenaan.


Sumber : Berita Harian Online



MACC FM
My Anti-Corruption Channel