Dua anggota URB disyaki terima rasuah direman 6 hari

Tarikh: 21/04/2025
img

GEORGETOWN: Dua anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) direman enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan ketika menjalankan tugas di Bayan Baru, dekat sini, awal pagi semalam.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin mengeluarkan perintah reman terhadap suspek yang masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Koperal berusia 28 dan 39 tahun bermula hari ini sehingga 26 April ini.

Terdahulu suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang dalam keadaan tangan bergari diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga kira-kira jam 9.50 pagi.

Menurut sumber, kedua-dua anggota itu dipercayai meminta wang suapan daripada pengadu yang dipercayai terbabit dalam kes dadah di sebuah pangsapuri di kawasan Bayan Baru kira-kira jam 3 pagi semalam.

Difahamkan, pengadu menyerahkan wang sebanyak RM1,500 menerusi dua transaksi secara dalam talian sebagai balasan supaya dia tidak dikenakan tindakan selain motosikalnya miliknya turut disita anggota berkenaan.

Kedua-dua suspek masing-masing ditahan di Balai Polis Bayan Baru pada jam 7.35 malam dan 9 malam tadi dan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel