Dua lagi pegawai penguat kuasa KLIA direman SPRM

Tarikh: 06/09/2024
img

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi penguat kuasa yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai terbabit rasuah membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan ketat.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan sekitar jam 6.30 pagi Selasa lalu ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Selasa lalu sebelum perintah reman selama empat hari sehingga 6 Ogos 2024 dikeluarkan terhadap suspek oleh Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.

"Kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan itu sejak tahun 2016 dan menerima bayaran secara tunai antara RM300 hingga RM2,500 sebagai balasan untuk melepaskan warga asing masuk ke Malaysia menggunakan modus operandi 'counter setting'.

"Ini adalah susulan penahanan lima suspek termasuk tiga penguat kuasa yang ditahan reman pada 30 Ogos lalu dan dilepaskan dengan jaminan SPRM sebaik berakhir tempoh reman masing-masing," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbaru itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, usaha giat sedang dilakukan untuk mengesan suspek utama, Roney Irwan Mohamad Nor, 49, yang tinggal di alamat terakhir C-T02-U03, Fasa P18R13, Presint 18, 62100 Putrajaya.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel