Dua mengaku tidak bersalah beri rasuah kepada pembantu penguat kuasa MBIP

Tarikh: 25/09/2024
img

Johor Bahru: Seorang jurujual syarikat aksesori telefon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM3,000 kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), awal tahun ini.

Tan Poh Wey, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Tan didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai itu kepada Syed Hanif Syed Nasir, 31, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat 53 Mobile Trading kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan gagal mematuhi notis supaya memberhentikan aktiviti perniagaan itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Pulai Mutiara 4/7, Taman Pulai Mutiara di sini, kira-kira jam 5 petang, 23 Januari lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan bapa dua anak itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Ahmad Kamal Arifin juga, seorang penjaja pasar malam, Wong Chee Khoi, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi rasuah wang tunai RM1,000 kepada seorang pembantu penguat kuasa MBIP, Syamsuddin Ab Rahman, 46, tahun lalu.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan supaya Syamsuddin tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas dirinya kerana menjalankan perniagaan menjual barangan runcit tanpa lesen di Tanah Lapang, Jalan Persiaran Teknologi 1 di sini, pada 8.20 malam, 2 November 2023.

Mahkamah membenarkan Wong yang juga bapa dua anak itu diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Selain itu, kedua-dua tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu mereka perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor sebulan sekali dan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh itu dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Rais Adha Ramli dan Nur Mahirah Mohd Pauzi, manakala peguam K Bharathi mewakili Tan dan peguam Lim Chon Sin mewakili Wong.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel