SEREMBAN - Dua pegawai kanan sebuah syarikat direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM14,000. Perintah reman terhadap suspek berusia 30 hingga 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret, Syed Farid Syed Ali setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa. Reman terhadap suspek bermula pada 6 Ogos sehingga 12 Ogos depan.
Menurut sumber, suspek disyaki meminta dan didakwa menerima rasuah kira-kira RM14,000 daripada syarikat pembekal sebagai dorongan melantik dan mendapatkan kerja pembekalan peralatan serta kelengkapan komputer untuk syarikat tersebut. Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara Januari hingga Mac tahun lalu dengan didakwa memperoleh suapan secara pindahan wang ke akaun bank masing-masing.
Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 5 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan. Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sumber: Sinar HarianĀ