KUALA LUMPUR: Syarikat produksi filem Konspirasi, Elepfilm Entertainment Sdn Bhd berharap naskhah itu dapat ditayangkan semula di pawagam selepas dihentikan pada 28 Mei lalu, hanya seminggu selepas dipertontonkan.
Penerbit Eksekutif Elepfilm Entertainment, Jack Yeoh, berkata pihaknya menetapkan sasaran tayangan semula filem Konspirasi dalam masa terdekat dan dijangka membuat pengumuman rasmi mengenainya, minggu depan.
"Insya-Allah, kita boleh buat tayangan semula dalam masa terdekat. Jika ada maklumat lanjut selepas ini, kami akan kongsikan.
"Ini adalah edisi khas dan pada asasnya, kami tertakluk kepada pekeliling daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
"Kami berharap dapat memperoleh tarikh tayangan dan melancarkan semula filem ini di pawagam kerana ramai penonton dan peminat meminta supaya Konspirasi ditayangkan semula. Mereka bersedia untuk menyokong," katanya kepada Harian Metro.
Jack ditemui pada sesi tayangan khas Konspirasi di TGV Pavilion Kuala Lumpur, malam tadi.
Jack turut mengharapkan sokongan pelbagai pihak, khususnya FINAS, bagi merealisasikan tayangan semula filem berkenaan.
"Kami berharap mereka dapat membantu untuk melancarkan semula filem ini. Kami sudah ada sasaran tarikh, cuma belum mendapat sokongan rasmi daripada FINAS untuk tayangan semula itu," katanya.
Selain tayangan semula di pawagam tempatan, Jack berkata pihaknya turut merancang membawa Konspirasi ke Taiwan dan Korea Selatan, selain membekalkannya di platform penstriman digital.
"Sambutan di Singapura sangat memberangsangkan. Disebabkan tayangan di Malaysia ditarik balik sebelum ini, respons penonton di Singapura amat baik.
"Tayangan di sana bertahan sehingga enam atau tujuh minggu.
"Tahun ini juga kami merancang membawa filem Konspirasi ke Taiwan dan Korea Selatan. Bagi pasaran Korea Selatan, filem ini dijangka ditayangkan menerusi platform penstriman digital pada awal tahun depan.
"Beberapa negara lain juga masih dalam proses rundingan dan akan kami maklumkan kelak," katanya.
Filem Konspirasi arahan Ghaz Abu Bakar dibintangi Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Amir Nafiz, Esma Daniel dan Roy Azman.
Filem Konspirasi yang mengisahkan pasukan elit pencegah rasuah memerangi kegiatan rasuah dalam kalangan ahli politik, mencetuskan kontroversi selepas tayangannya dihentikan serta-merta di Malaysia.
Pemberhentian tayangan filem terbitan Elepfilm Entertainment itu dilapor mencetuskan pelbagai spekulasi apabila dikaitkan dengan dakwaan campur tangan pihak luar.
Elepfilm Entertainment yang dilapor mengesahkan tayangan filem Konspirasi dihentikan pada 28 Mei lalu, menjelaskan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pertimbangan dalaman dan bukannya strategi pemasaran atau gimik publisiti.
Selain itu, keputusan terbabit juga dilapor dibuat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak luar.
Sumber : Berita Harian Online