Ejen insurans direman 5 hari, kes pelaburan palsu RM21 juta

Tarikh: 21/08/2025
img

PUTRAJAYA - Seorang ejen insurans direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes bersubahat dalam pelaburan palsu bernilai kira-kira RM21 juta.

Perintah reman bermula Rabu hingga Ahad itu dikeluarkan oleh Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi Rabu.

Menurut sumber, wanita berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut sekitar 2023 hingga tahun ini.

“Siasatan awal mendapati seramai 22 pelabur telah diperdaya untuk melabur sebanyak RM21 juta di sebuah koperasi di Lembah Klang. Namun, wang pelaburan tersebut tidak diterima koperasi berkenaan, sebaliknya pelabur hanya diberi sijil pelaburan palsu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel