KANGAR: Ejen kasino mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menawarkan rasuah kepada pegawai polis sebagai dorongan untuk melepaskan lorinya yang ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA), Februari tahun lalu. Tertuduh, Teow Kok Guan, 34, dari Pulau Pinang mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Teow didakwa menawarkan suapan RM200,000 kepada Inspektor Muhamad Taufiq Ibrahim yang bertugas sebagai Pegawai Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Perlis sebagai dorongan melepaskan sebuah lori 'bonded' yang ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Tertuduh melakukan kesalahan itu di di Kem Kompeni D, PGA Batalion 1, Kuala Perlis pada 9 pagi, 19 Februari 2023 dan didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Akmal Abdul Ghani, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 dengan seorang penjamin dan 9 September untuk sebutan semula kes. Terdahulu, media melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan taktik menunda lori satu tan dipenuhi syabu seberat 1.8 tan bernilai RM64.8 juta di Simpang Empat, di sini.
Dalam serbuan itu, lima suspek berusia antara 29 hingga 49 tahun termasuk wanita ditahan.
Sumber: Berita Harian