KUALA LUMPUR: Empat ahli lembaga pengarah syarikat antara lima ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana pelaburan awam dianggarkan bernilai RM104 juta.
Menurut sumber, kelima-lima suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 50-an hingga 60-an ditahan kira-kira jam 7 petang, semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
"SPRM menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan berunsur jenayah yang dilakukan oleh sebuah syarikat pemegang amanah berlesen di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.
"Syarikat tersebut didapati menggunakan dana yang dikumpul daripada pelabur untuk kepentingan peribadi individu-individu yang bersekongkol dalam kegiatan jenayah ini," katanya.Sumber berkata, kira-kira RM104 juta dikesan diselewengkan daripada syarikat terbabit ke beberapa syarikat persendirian yang dimiliki oleh proksi.
Susulan penahanan itu, kelima-lima suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 21 Januari depan dengan perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas kelima-lima suspek dibuat dalam satu operasi digelar Op Trust.
"Modus operandi kegiatan tersebut memerlukan kepakaran yang tinggi dalam kalangan pegawai SPRM untuk menjejak aliran kewangan.
"Selain itu, siasatan ini juga bertujuan membantu kerajaan mengukuhkan kepercayaan awam terhadap badan pengawal selia yang mengeluarkan lesen untuk syarikat-syarikat pemegang amanah, selain mewujudkan platform yang bersih dan selamat untuk bakal pelabur," katanya.
Azam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sumber BH Online