Fahami teguran Agong 'lebih baik jangan duduk di Malaysia'
Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15 kelmarin ternyata membawa mesej jelas, tegas dan berani menegur beberapa kepincangan yang berlaku dalam tadbir urus serta keperluan 'meluruskan' kembali beberapa 'perkara yang tidak kena'.
Dari sudut rasuah, salah guna kuasa, reformasi institusi dan undang-undang termasuk aspek pendidikan menyentuh Bahasa Melayu semuanya mendapat teguran terbuka daripada Sultan Ibrahim.
Paling menarik perhatian sudah tentu isu memburu mereka terbabit dengan kitaran amalan rasuah dan amaran kepada rakyat berhubung penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan dengan ungkapan 'Kalau ada yang tidak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia'.
Entah mengapa ada pihak yang terasa dengan teguran Yang di-Pertuan Agong ini dengan menyifatkannya dengan pelbagai metafora dan pandangan negatif termasuk berbaur ekstrem. Ia bukan seruan untuk mengusir sebaliknya teguran terhadap sikap menolak asas kenegaraan sambil terus menuntut hak sebagai warganegara.
Sebaliknya, titah itu adalah satu peringatan tegas terhadap kewajipan rakyat untuk menjunjung Perlembagaan khususnya Perkara 152 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Usah memahaminya secara literal semata-mata, tetapi sindiran tajam sarat dengan penuh makna.
Jika rakyat memahami peribahasa 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' sudah pasti tidak akan timbul rasa tidak senang dengan teguran berkenaan kerana ia menggambarkan prinsip sesiapa memilih untuk menjadi warganegara Malaysia, wajib menghormati nilai teras negara ini iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan nasional.
Dalam masyarakat majmuk, isu bahasa Melayu sebagai bahasa negara tidak wajar dipolemikkan kerana Perlembagaan turut menjamin hak penggunaan dan pembelajaran bahasa lain. Titah baginda adalah menegur segelintir pihak mempersoalkan kedudukan bahasa Melayu, khususnya dalam sistem pendidikan.
Pendidikan bukan sekadar ruang akademik, tetapi wahana pembinaan jati diri dan kesetiaan kepada negara. Oleh itu, sistem pendidikan wajib selari dengan Perlembagaan. Sistem pendidikan yang tidak mengiktiraf bahasa Melayu adalah tidak selari dengan Perlembagaan.Penegasan terhadap bahasa Melayu tidak bermaksud menolak penggunaan bahasa lain dalam kehidupan seharian, perniagaan atau pendidikan tambahan.
Realitinya, rakyat Malaysia terus bertutur dalam pelbagai bahasa tanpa sekatan. Namun, sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu perlu diberi keutamaan dalam urusan negara dan pembentukan identiti kebangsaan.
Kesimpulannya, titah Agong bukan satu ancaman, tetapi seruan kesedaran. Rakyat wajib menerima realiti sejarah dan perundangan negara ini. Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa rasmi, tetapi simbol kesetiaan kepada negara.
Kesetiaan kepada negara bermula dengan menghormati Perlembagaannya dan ia hadir bersama tanggungjawab menerima bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan serta teras perpaduan rakyat.