KUALA LUMPUR: Goldman Sachs Group, Inc (Goldman Sachs) memohon sebagai pencelah dalam permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan dokumen daripada sebuah firma guaman berkaitan proses penyelesaian di antara Kerajaan Malaysia dengan Ambank serta Goldman Sachs berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berkata, pihaknya menerima notis usul dan afidavit daripada Goldman Sachs pada 7 November lalu dan memerlukan masa untuk meneliti kedua-dua dokumen berkenaan.
“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran bagi prosiding memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi lain, namun pendakwaan mohon penangguhan kerana kes ini dicelah oleh Goldman Sachs.
“Pendakwaan mohon isu mencelah ini dapat diselesaikan dahulu sebelum permohonan memindahkan kes didengar,” katanya semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili peguam Chetan Jethwani dan firma guamannya tidak membantah permohonan pendakwaan untuk menangguhkan prosiding memindahkan kes.
Sementara itu, peguam Krishna Dallumah yang mewakili Goldman Sachs mengesahkan perkara itu dan memohon tarikh 8 Januari 2024 ditetapkan untuk mendengar permohonon pencelah.
“Goldman Sachs ingin menjadi pencelah kerana haknya terjejas khususnya di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 iaitu hak pada dokumen-dokumen yang terlindung,” katanya yang turut mengendalikan kes bersama peguam Datuk Prem Ramachandran.
Hakim Muhammad Jamil menetapkan 8 Januari untuk mendengar permohonan Goldman Sachs sebagai pencelah dan 2 Februari bagi pendengaran permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi lain.
Pada 11 Oktober lalu, SPRM memfailkan permohonan itu dengan menamakan Chetan dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co. sebagai responden.
Menerusi dokumen yang diperoleh media, SPRM memohon responden mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan Chetan sebagai peguam Goldman Sachs, penyata akaun serta akaun firma guaman itu.
Dokumen itu diperlukan SPRM untuk mengenal pasti pelantikan responden sebagai peguam Goldman Sachs dalam urusan penyelesaian dengan pihak Kerajaan Malaysia berkaitan 1MDB.
Pegawai Penyiasat SPRM Mohamad Sabri Mohd Latif dalam afidavit difailkan bagi menyokong notis usul menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap Chetan dan firma guamannya berhubung penglibatan peguam itu yang disyaki menerima rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan proses penyelesaian di antara Kerajaan Malaysia dengan Ambank serta Goldman Sachs berkenaan isu 1MDB.- UTUSAN