Goldman Sachs setuju bayar AS$500 juta selesai saman pemegang saham berkaitan skandal 1MDB

Tarikh: 22/05/2026
img

NEW YORK: Goldman Sachs bersetuju membayar AS$500 juta bagi menyelesaikan saman yang menuduh bank Wall Street itu menipu pemegang saham berhubung peranannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana kekayaan negara Malaysia yang terpalit dalam skandal rasuah.

Kedua-dua pihak bulan lalu memaklumkan mereka telah bersetuju mencapai penyelesaian, namun syaratnya tidak didedahkan ketika itu.

Peguam kepada pemegang saham, diketuai dana pencen Sweden, Sjunde AP-Fonden, mendedahkan jumlah itu dalam pemfailan semalam di Mahkamah Persekutuan Manhattan.

"Penyelesaian ini adalah keputusan yang amat baik untuk kumpulan plaintif," kata peguam mewakili pemegang saham dalam dokumen pemfailan tersebut.

Penyelesaian itu masih memerlukan kelulusan hakim.

Peguam Goldman Sachs dan jurucakap bank berkenaan tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menubuhkan 1MDB untuk menggalakkan pembangunan ekonomi dengan bantuan ahli kewangan Malaysia, Jho Low, yang kini menjadi buruan.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia berkata AS$4.5 bilion diseleweng daripada 1MDB, dengan sebahagiannya disalurkan ke akaun bank luar pesisir dan syarikat cangkerang yang dikaitkan dengan Jho Low.

Goldman membantu 1MDB menjual bon bernilai AS$6.5 bilion dan mengutip anggaran yuran sebanyak AS$600 juta.

Pemegang saham menuduh bank itu berbohong mengenai peranannya dalam penipuan berkenaan sambil berulang kali memuji sistem pengurusan risiko yang kononnya kukuh.

Mereka berkata harga saham Goldman menjunam selepas pelabur menyedari Goldman "secara aktif memudahkan — dan meraih keuntungan besar daripada" penipuan itu.

Goldman pada 2020 bersetuju membayar penalti AS$2.9 bilion dan membenarkan unitnya di Malaysia mengaku salah atas pertuduhan jenayah bagi menyelesaikan siasatan berkaitan 1MDB oleh Jabatan Kehakiman AS dan pihak berkuasa lain.

Seorang hakim di Brooklyn, New York secara rasmi menamatkan kes jenayah AS terhadap Goldman pada Mei 2024 selepas bank itu melengkapkan perjanjian penangguhan pendakwaan selama tiga tahun.

Seorang pegawai bank Goldman disabitkan kesalahan membantu menyeleweng dana 1MDB, manakala seorang lagi mengaku bersalah. - REUTERS


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel