Johor Bahru: Guru mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM33,000 pada 2022 dan 2023 di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh, Abdul Aziz Hussin, 54, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Aziz yang bertugas di sebuah sekolah di Batu Pahat didakwa diberi suatu suapan daripada dua individu berbeza termasuk seorang pemilik syarikat dengan nilai keseluruhan RM33,870.10 dan dia gagal melaporkan pemberian itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kesemua pertuduhan dilakukan di sebuah bank di Kota Tinggi pada 9 November 2022 dan 17 Januari 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Sharif.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan, namun mencadangkan jumlah RM30,000 untuk kesemua pertuduhan sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin.
Bagaimanapun, Mohd Razak memohon ikat jamin dikurangkan kerrana tertuduh mempunyai lapan anak dengan enam daripadanya belajar di universiti, sekolah menengah dan sekolah rendah, selain menanggung nafkah ibu bapanya yang uzur.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Batu Pahat.
Sebutan semula ditetapkan pada 8 September depan untuk serahan dokumen.
Sumber: Harian Metro