Hannah buka pintu kepada SPRM jalankan siasatan ke seluruh agensi JPW

Tarikh: 03/02/2026
img

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh hari ini menegaskan, seluruh agensi di bawah agensi itu akan 'membuka pintu' kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hadir menjalankan siasatan.

Beliau berkata, usaha itu adalah untuk meyakinkan rakyat terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berdepan dengan jutaan rakyat pada setiap masa.

"Selalunya SPRM hadir mendapatkan fail selepas bekas menteri mahupun bekas pengarah disiasat tetapi (selepas ini) kita mahu membuka pintu lebih awal.

"Kita menjemput SPRM masuk bersama dan memberikan saranan kepada kita dan kita mengambil saranan itu dengan serius untuk melaksanakan," katanya pada Pemeteraian Nota Kerjasama antara SPRM, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan timbalannya (pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman.

SPRM baru-baru ini hadir ke DBKL untuk membuat siasatan penambahbaikan tatakelola dan mencadangkan beberapa syor untuk membantu agensi itu menutup risiko dan ruang rasuah.

SPRM juga mengesyorkan 20 langkah penambahbaikan kepada DBKL bagi memperkemas tatakelola dan menutup ruang ketirisan membabitkan lima isu utama di agensi berkenaan.

SPRM dalam kenyataan berkata, lima isu tatakelola dikenal pasti di DBKL membabitkan pengurusan pelaksanaan projek penerbitan kandungan siaran Studio Radio (Bahan Kreatif) serta tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia 2023 (SUKANUN Ke-12).

SPRM memaklumkan syor berkenaan dibentangkan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM hasil pemerhatian dan siasatan yang dijalankan terhadap prosedur sedia ada.

Cadangan penambahbaikan itu disambut baik oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, yang menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan dan integriti DBKL.


Sumber _ Beita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel