PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganggarkan hanya lima peratus sahaja pengadu yang sanggup tampil melaporkan jenayah rasuah secara bersemuka kepada pihak mereka.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara ini disebabkan pengadu khuatir terhadap implikasi yang bakal terjadi kepada mereka akibat tindakan itu.
Kata beliau, pengadu lebih selesa dengan menggunakan apa jua aplikasi dalam talian yang ada termasuklah hebahan di media sosial atau menularkan apa perkara yang berlaku.
“Saya tidak memandang media sosial sebagai sesuatu yang terlalu negatif tetapi kebijaksanaan amat penting dalam hal ini iaitu bagaimana membuat penilaian supaya jangan tersalah langkah.
“Salah satu kaedah yang digunakan ialah kita (SPRM) perlu melihat kepada media arus perdana terlebih dahulu. Apa yang keluar daripada media arus perdana itu adalah keutamaan.
“Maka, disinilah tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul pengamal media malah warga SPRM juga agar dapat menyampaikan sesuatu yang sahih, tepat dan mampu mendidik minda masyarakat ke arah kebaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Malam Anugerah Media SPRM 2022, di sini, malam tadi.
Sebanyak 15 penyertaan diterima SPRM pada tahun ini melibatkan media cetak dan elektronik bagi pencalonan Anugerah Media SPRM 2022.
Mengulas lanjut, Azam berkata, selari dengan perkembangan teknologi, pegawai SPRM sering diingatkan supaya menjadi ‘muda mengikut zaman’ atau dalam erti kata lain sentiasa mengikut trend teknologi semasa.
“Kita perlu berubah daripada segi pendekatan dan tidak boleh mengikut cara lama lagi dalam menyampaikan atau mencari maklumat atau seumpamanya.
“Kita harus menyedari bahawa terlalu banyak perkara yang boleh
dimanfaatkan menerusi ‘open source’ di luar sana, namun, ia perlu kajian dan pertimbangan sewajarnya,” jelasnya.
Dalam pada masa sama, Azam memberitahu, media memainkan peranan penting dalam membantu SPRM dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.
Kata Azam, ia selaras peranan media sebagai jambatan perantara yang membolehkan maklumat mengalir secara dua hala.
Ini termasuk sebagai penghubung antara pemerintah dan rakyat.
“Kuasa media sebagai tunjang keempat atau “fourth pillar in a democracy” mampu memantau, mendidik, memberi amaran malah mendedahkan
kepincangan atau salah laku yang berlaku dalam kerajaan dan masyarakat.
“Oleh sebab itu, kuasa media mampu mewujudkan persepsi, baik positif atau pun negatif serta mampu mengalih atau menumpukan perhatian terhadap individu atau pun sesuatu isu,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia