HRD Corp gantung tugas 3 anggota pengurusan tertinggi

Tarikh: 06/02/2026
img

KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertinggi susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, HRD Corp memaklumkan, tindakan diambil berdasarkan penemuan dan syor berkaitan pengurusan 'levi tidak digunakan', pemerolehan Menara Ikhlas serta pengurusan pelaburan ekuiti HRD Corp.

Ia juga merangkumi penemuan terkini berhubung Sistem Teras Baharu (New Core System – NCS) bernilai RM14 juta yang tertangguh lebih empat tahun selepas tiga kegagalan Ujian Penerimaan Pengguna (UAT).

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz, menegaskan bahawa langkah pemulihan dan pengukuhan tadbir urus itu selaras dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan yang menekankan standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam institusi tenaga kerja.

"Ini bagi memastikan pengurusan HRD Corp menghasilkan impak positif kepada majikan serta tenaga kerja negara, sejajar dengan semangat MADANI Bekerja," katanya dalam kenyataan berkenaan yang tidak memperincikan tiga anggota pengurusan tertinggi yang dikenakan tindakan itu.

Tegasnya, HRD Corp akan melaksanakan siasatan dalaman yang telus dan berintegriti dengan mandat, skop serta terma rujukan yang jelas.

"Proses ini merangkumi semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat dan jejak audit berkaitan, selain pengambilan keterangan serta pengesahan fakta daripada pegawai terlibat, tertakluk kepada prinsip keadilan asasi dan keperluan kerahsiaan siasatan," katanya.

Kenyataan sama turut memaklumkan, dalam minggu pertama pelantikan Ketua Eksekutif baharu, HRD Corp berjaya memperoleh penyelesaian kira-kira 18 peratus daripada portfolio pelaburan berstruktur yang tertunggak, bersama pulangan berjumlah RM151.8 juta.

Usaha ini membuktikan pemulihan yang pantas telah dilakukan selain dapat memastikan pelaburan yang dibuat oleh HRD Corp lebih terjamin dan dilindungi.

"Selain itu, bagi memastikan tadbir urus dan pemantauan yang lebih kukuh, pelaksanaan program latihan yang diluluskan hanya boleh dijalankan selepas tempoh minimum 21 hari hingga tiga bulan daripada tarikh kelulusan," menurut HRD Corp.

Tempoh itu memberi masa yang cukup kepada majikan dan penyedia latihan untuk membuat perancangan rapi termasuk tempahan lokasi, pendaftaran peserta dan penyelarasan logistik.

Pada masa ini, tiada pemantauan yang sistematik terhadap program latihan yang diluluskan telah melemahkan kawalan dan pengawasan tadbir urus.

Terdapat juga kes di mana latihan dilaksanakan sebelum kelulusan diperoleh, dengan permohonan geran dikemukakan hanya selepas latihan selesai.

Bagi menangani isu ini, HRD Corp akan memperkukuh rangka kerja pemantauan dan penguatkuasaan secara berperingkat dengan menempatkan pegawai di lapangan untuk menyelia pelaksanaan latihan.

"HRD Corp yakin penambahbaikan yang dibuat ini akan memperkukuh pematuhan, akauntabiliti dan tadbir urus yang lebih baik selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya teras Kesejahteraan, Keadilan Sosial, Keberdayaan dan Ihsan dalam memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat dan industri, " menurut kenyataan itu.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel