HRD Corp: SPRM tumpu 12 teguran Ketua Audit Negara

Tarikh: 10/07/2024
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan penyiasatan berhubung pelaburan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dengan mengambil dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara dari Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp, hari ini.

SPRM berkata, analisis awal mendapati 12 rumusan teguran yang diketengahkan dalam Laporan Audit itu.

Menurutnya, tumpuan utama siasatan SPRM menjurus kepada unsur jenayah yang tertakluk mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Perlu dijelaskan SPRM tidak akan menumpukan siasatan terhadap isu-isu kelemahan pengurusan dan ketidakakuran peraturan kerana perkara itu telah pun dijelaskan dan diperkemas oleh pengurusan HRD Corp sewaktu Exit Conference dengan Jabatan Audit Negara sebelum ini.

"SPRM menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa yang mencukupi bagi proses siasatan ini dilaksanakan tanpa sebarang gangguan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke KESUMA, di Putrajaya dan HRD Corp, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur, dan pelaburan bukan matlamat penubuhan badan berkanun itu.

Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel