SHAH ALAM: Pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim masih menunggu penjelasan sebenar penerbit filem Konspirasi susulan keputusan menghentikan tayangan naskhah itu di pawagam sejak Khamis lalu.
Sarimah mengaku kecewa kenyataan dikeluarkan Elepfilm Entertainment Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dilihat tidak memberikan jawapan jelas berhubung punca sebenar tayangan filem Konspirasi, dihentikan.
"Kita sudah dengar kenyataan daripada FINAS dan penerbit, tetapi kenyataan itu tidak menjawab persoalan. Adakah kerana nama filem ini Konspirasi?
"Jadi, sudah tentu saya kecewa. Ibarat kita buat tugasan, kemudian serahkan kepada cikgu, tetapi cikgu tidak mahu beri markah," katanya ketika ditemui pada konsert mingguan musim kedua program Talk To My Manager (TTMM) di Auditorium MBSA di sini, malam tadi.
Sarimah berkata, sebagai pelakon yang terbabit secara langsung dalam promosi filem berkenaan, dia berhak mendapatkan penjelasan lebih baik daripada penerbit.
"Apabila Konspirasi dihentikan tayangan, saya tertanya-tanya. Saya cuma mahu tahu kenapa? Kami sudah menjayakan promosi dan melakukan pelbagai perancangan.
"Apabila saya dapat tahu tayangan dihentikan, saya tertanya-tanya mengapa perkara ini berlaku.
"Kita belum dapat jawapan kepada persoalan itu. Ada yang suruh tanya produser sendiri dan kita sudah bertanya, tetapi tetap tidak dapat jawapan. Kenapa di Singapura filem ini masih ditayangkan? Jadi, hanya produser boleh menjawab.
"Sampai hari ini kita masih menunggu jawapan daripada produser. Kalau kita tahu sebabnya, mungkin lebih mudah. Semua pelakon dan pengarah tidak tahu kenapa filem itu dihentikan. Kami hanya menerima kenyataan yang sama seperti orang awam," katanya.
Bagaimanapun, Sarimah menegaskan dia tidak serik untuk bekerjasama dengan penerbit sama, namun, mahu mendapatkan penjelasan.
"Insya-Allah, kita akan dapat juga jawapan. Saya sudah 29 tahun dalam industri dan memang seorang yang jujur, jadi saya akan bertanya.
"Kalau saya diam, nampak pelik sebab kami sudah bertungkus-lumus membuat promosi dan menyusun jadual promosi.
"Jadi bila kita tidak muncul, peminat akan bertanya mana filemnya? Kita gigih mempromosikan filem ini, tetapi apabila mereka mahu membeli tiket, tiada. Jadi saya terpaksa bersuara kerana tidak mahu orang fikir kami menipu peminat," katanya.
Sarimah berkata, dia tidak meletakkan sasaran filem yang mengangkat kisah anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu menjadi filem pecah panggung. Namun, sebagai pelakon, dia percaya karya terbabit wajar dipertontonkan kepada khalayak lebih luas.
"Saya memang seorang produser yang baharu, tetapi dalam situasi ini saya bercakap sebagai pelakon.
"Saya tidak meletakkan sasaran tertentu, tetapi harapan saya ialah filem ini mendapat tempat di hati penonton.
"Jadi, apabila penonton mahu membeli tiket tetapi tidak ada, saya juga kecewa bagi pihak mereka. Sampai ada yang terpaksa pergi ke Singapura untuk menonton," katanya.
Susulan pelbagai spekulasi berhubung keputusan menghentikan tayangan Konspirasi di pawagam Malaysia, Elepfilm Entertainment tampil menjelaskan keputusan itu dibuat atas pertimbangan dalaman syarikat, bukannya sebagai strategi publisiti atau pemasaran.
Menerusi kenyataan dimuat naik di Instagram (IG) rasmi syarikat itu semalam, pihak penerbit memaklumkan keputusan berkenaan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.
Sebelum itu, Elepfilm Entertainment dilapor mengesahkan tayangan Konspirasi dihentikan di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei lalu. Bagaimanapun, kenyataan sama memaklumkan tayangan filem itu di Singapura dan negara lain tidak terjejas.
Sebelum ini, BH Online melaporkan filem Konspirasi yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 21 Mei lalu dihentikan tayangan secara serta-merta, sekali gus mencetuskan kejutan dalam kalangan peminat dan penggiat industri.
SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE