Inisiatif Integriti Pact berkesan tangani amalan rasuah, penipuan di kalangan pegawai Kerajaan

Tarikh: 11/09/2023
img

SEPANG: Inisiatif Integrity Pact yang dikuatkuasakan kerajaan sejak pertengahan tahun lalu, dikesan mampu memastikan pegawai kerajaan yang terbabit dalam sektor perolehan negara mematuhi standard tinggi dan etika dalam proses perolehan dan tender.

Dalam penyelidikan yang dibentangkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM), langkah memperkenalkan saringan integriti serta menandatangani surat akuan dilihat mampu untuk mencegah amalan rasuah dan penipuan, dalam proses perolehan dalam kalangan pembekal kerajaan.

Ketua penyelidik yang juga pensyarah Fakulti Undang-Undang UiTM, Dr Ibtisam @ Ilyana Ilias, berkata kemampuan itu adalah berikutan Integrity Pact tersedia di semua peringkat perolehan dan penjawat awam terikat dengan inisiatif berkenaan.

"Hasil penyelidikan mendapati 82.22 peratus percaya bahawa Integrity Pact boleh memastikan langkah-langkah untuk mencegah penipuan dalam kalangan pegawai perolehan, Integrity Pact mampu memastikan langkah-langkah untuk mencegah penipuan di kalangan pembekal kerajaan (81.98 peratus); dan Integrity Pact memastikan standard yang tinggi bagi tingkah laku profesional (81.39 peratus).

"Selain itu, ia memastikan kebebasan dalam proses membuat keputusan (81.39 peratus) dan memastikan proses selamat untuk pembekal untuk melaporkan aktiviti rasuah (76.74 peratus)," katanya dalam pembentangan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan ke-2, hari ini.

BH pada tahun lalu melaporkan, syarikat yang membida tender atau memohon dana kerajaan yang dikeluarkan menerusi Kementerian Kewangan (MOF), wajib melalui saringan integriti serta menandatangani surat akuan menolak elemen rasuah bermula 1 Jun 2022.

Pelaksanaan langkah itu adalah antara 111 inisiatif yang termaktub di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, untuk meningkatkan integriti, memerangi amalan rasuah serta mengelak sebarang isu berkaitan konflik kepentingan.

Surat Akuan Integrity Pact ini akan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Ibtisam berkata, penyelidikan persepsi mendapati tindakan melalui Kanun Keseksaan adalah lebih berkesan dalam menangani amalan rasuah dalam perolehan di negara ini (62.79 peratus), berbanding Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (58.72 peratus).

"Tinjauan penyelidikan itu mendapati Pelan Pencegahan Rasuah Nasional (NACP) adalah relevan dalam memerangi rasuah dalam perolehan, melalui dapatan 69.76 peratus.

"Akta SPRM mungkin dianggap tidak berkesan kerana kesukaran untuk membuktikan kes (beban yang lebih tinggidalam pembuktian)," katanya.

Laporan penyelidikan itu turut disediakan oleh enam penyelidik UiTM iaitu Dr. Ahmad Ridhwan Abd Rani, Anwar Najib A'zmi, Dr Faridah Hussain, Prof Madya Dr Hartini Saripan dan Prof Madya Datin Sri Dr Nazura Mohamed Sayuti serta Dr Wan Rosalili Wan Rosli dari University of Bradford, United Kingdom.

Sumber: Berita Harian

 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel