Institusi kewangan diperguna pengubahan wang haram - SPRM

Tarikh: 16/10/2023
img

KUALA LUMPUR: Institusi kewangan sentiasa terdedah kepada penipuan dan pengubahan wang haram, kata Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, institusi itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tempat yang selamat untuk menyembunyikan, berurus niaga dan menukar hasil daripada aktiviti haram.

"Penjenayah semakin kreatif dalam mencari kelemahan untuk memintas 'Customer Due Diligence' yang dilaksanakan dan mengeksploitasi pelbagai instrumen kewangan untuk menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Perbuatan sedemikian dikesan melalui kemudahan pembiayaan perdagangan, insurans, pindahan wang dan amalan rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kerjasama Awam Swasta Fasa 2: Cabaran Bersama Integriti Dalam Menangani Jenayah, di sini hari ini.

Azam berkata, perkembangan pesat teknologi maklumat yang semakin canggih masa kini menjadikan modus operandi pelaku rasuah terus berkembang dan semakin kompleks.

"Rasuah dan penipuan kini boleh disembunyikan melalui pelbagai lapisan rekod dan dokumentasi serta penukaran hasil haram dilakukan melalui medium baharu seperti aset maya, peniaga bawah tanah, institusi kewangan rentas sempadan serta perkhidmatan kewangan luar pesisir.

"Peranan institusi kewangan sebagai barisan hadapan dalam memerangi rasuah dan penipuan penting kerana penipuan kewangan, sogokan daripada aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram sering menggunakan institusi kewangan," katanya.

Beliau berkata, transaksi terutamanya yang membabitkan pelanggan berisiko tinggi harus diteliti dari segi sumber dana diperoleh dan ke mana wang itu digunakan.

"Semua bank sama ada bank perdagangan dan bank pelaburan berlesen dikehendaki melaksanakan piawaian keselamatan tertinggi, terutamanya untuk perkhidmatan perbankan Internet dan mudah alih, seperti semakan keselamatan dan khidmat nasihat berkala mengikut panduan Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Azam berkata, SPRM mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengesan dan menyiasat kesalahan rasuah dan pada masa sama, menuntut kerjasama berterusan dengan institusi kewangan serta agensi penguat kuasa lain.

"Kerjasama dalam bentuk perkongsian pengetahuan dan maklumat serta laporan proaktif mengenai aktiviti kewangan yang mencurigakan sangat penting dalam proses penyiasatan sebagai 'red flags' untuk mengesan kemungkinan berlakunya kesalahan.

"Oleh itu, industri kewangan dan pihak berkuasa perlu sentiasa berwaspada dengan modus operandi terkini," katanya.

Katanya, BNM perlu terus bekerjasama dengan SPRM dan sektor kewangan untuk menyelaraskan usaha memerangi rasuah, penipuan kewangan dan

Program Kerjasama Awam Swasta pada fasa pertama sebelum ini berjaya dilaksanakan dengan penyelarasan bersama sektor perbankan kewangan, iaitu di antara pihak Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan bank-bank komersial utama serta BNM.

Susulan program ini, terdapat beberapa perbincangan dan mesyuarat bersama daripada kedua-dua pihak yang berjaya dilaksanakan untuk mendapatkan bantuan kerjasama dalam perkongsian maklumat berkaitan perbincangan kes rasuah, salah-guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel