Institusi kewangan dan perbankan dikesan terdedah kepada aktiviti penipuan dan pengubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Institusi ini dijadikan sebagai tempat menyembunyikan atau berurus niaga untuk menukar hasil daripada aktiviti haram.
“Penjenayah semakin kreatif dalam mencari kelemahan untuk memintas Customer Due Diligence yang dilaksanakan dan mengeksploitasi pelbagai instrumen kewangan untuk menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Perbuatan sedemikian dikesan melalui kemudahan pembiayaan perdagangan, insurans, pindahan wang dan amalan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership) Fasa Dua: Cabaran Bersama Integriti Dalam Menangani Jenayah, anjuran SPRM di sini hari ini.
Azam berkata, perkembangan pesat teknologi maklumat yang semakin canggih masa kini menjadikan modus operandi pelaku rasuah terus berkembang dan semakin kompleks.
Kata beliau, rasuah dan penipuan kini boleh disembunyikan melalui pelbagai lapisan rekod dan dokumentasi serta penukaran hasil haram dilakukan melalui medium baharu seperti aset maya, peniaga bawah tanah, institusi kewangan rentas sempadan serta perkhidmatan kewangan luar pesisir.
Beliau berkata, peranan institusi kewangan sebagai barisan hadapan dalam memerangi rasuah dan penipuan adalah penting kerana penipuan kewangan, sogokan daripada aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram sering menggunakan institusi kewangan.
“Transaksi terutamanya yang melibatkan pelanggan berisiko tinggi harus diteliti dari segi sumber dana diperoleh dan ke mana wang itu digunakan.
“Semua bank sama ada bank perdagangan dan bank pelaburan berlesen dikehendaki melaksanakan piawaian keselamatan tertinggi terutamanya untuk perkhidmatan perbankan internet dan mudah alih seperti semakan keselamatan dan khidmat nasihat berkala mengikut panduan Bank Negara Malaysia,” jelasnya.
Untuk rekod, Program Kerjasama Awam Swasta pada fasa pertama sebelum ini berjaya dilaksanakan dengan koordinasi bersama sektor perbankan kewangan iaitu di antara pihak SPRM khususnya Bahagian AML dengan bank-bank komersial utama termasuk Bank Negara Malaysia.
Susulan daripada program ini, terdapat beberapa sesi perbincangan dan mesyuarat bersama daripada kedua-dua pihak yang berjaya dilaksanakan untuk mendapatkan bantuan kerjasama dalam perkongsian maklumat berkaitan perbincangan kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Kesinambungan daripada itu, program PPP di peringkat fasa kedua ini diteruskan lagi dengan menjalinkan hubungan strategik bersama beberapa Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), Bank Pelaburan serta Perniagaan Dan Profesion Bukan Kewangan Yang Ditetapkan (DNFBPs)
Sumber: Utusan Malaysia