'InsyaAllah, exam SPRM paper ketiga ini pun akan ok'

Tarikh: 07/05/2026
img

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli sedia untuk ke mahkamah bagi menghadapi sebarang pendakwaan berhubung siasatan berkait kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion.

Beliau yakin sepanjang tiga hari memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tiada sebarang bukti yang akan membabitkan dirinya disebalik siasatan kes itu.

"Kalau kita memang tak ambil duit, maka tiada 'money trail' (jejak wang) atau bukti kekayaan atau kemewahan. Kalau kita buat kerja kita saja dan tiada 'self interest' (kepentingan diri), soal macam mana pun jawapan kita konsisten dengan rekod-rekod rasmi yang ada.

"InsyaAllah, 'exam' (ujian) SPRM paper (kertas) ketiga ini pun akan ok. Cikgu-cikgu yang memeriksa saya pun setakat ini ok. Bukan macam cikgu disiplin saya dulu, libas dengan tali pinggang.

"Kalau saya bertuah dapat notis terima sijil di mahkamah nanti, InsyaAllah saya naik pentas dengan tunjukkan sijil exam SPRM yang cemerlang," katanya dalam satu hantaran menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu hari ini, Rafizi ke Ibu Pejabat SPRM bagi menyambung proses merekod keterangan untuk kali ketiga berhubung siasatan terbabit.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Rakaman percakapan Rafizi dibuat selepas pembantunya, Chai Jin Shern atau James Chai, diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut minggu lalu.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, sudah bersedia dari awal untuk berdepan sebarang siasatan berkenaan kes itu yang sebelum ini dilaporkan tiga badan bukan kerajaan (NGO).

"Kalau kita sudah 'study' (kaji) awal-awal dan ingatan kita baik, InsyaAllah lancar saja jawab exam SPM. Kalau kita memang jenis ponteng kelas, 'homework' (kerja rumah) tak pernah buat, hari 'exam' memang menggelabah dan berterabur jawab 'exam'. 'Exam' SPRM pun sama.

"Terima kasih atas doa keluarga dan kawan-kawan dari merata tempat. Satu tips saja yang saya tak pakai untuk ambik 'exam' SPRM. Tips suruh makan kismis sebelum exam untuk ingatan kuat. Saya memang tak yakin tips ini dari dulu," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel