Iraq rampas AS$20 juta disembunyikan dalam botol air siasatan kes rasuah

Tarikh: 07/07/2026
img

ISTANBUL: Pihak berkuasa Iraq merampas wang tunai kira-kira AS$20 juta dan lima kilogram emas yang disembunyikan di dalam botol air plastik semasa siasatan kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Menteri Minyak bagi Hal Ehwal Penapisan, Adnan Al-Jumaili, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

Hakim di Mahkamah Jenayah Pusat bagi Memerangi Rasuah mengarahkan rampasan tambahan sebanyak 25 bilion dinar Iraq (kira-kira AS$19 juta) dan AS$1 juta dalam bentuk wang tunai, kata majlis itu dalam satu kenyataan yang dilaporkan agensi berita kerajaan, INA.

Pihak berkuasa turut merampas barang kemas emas seberat kira-kira lima kilogram sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap Al-Jumaili dan suspek lain yang dikaitkan dengan kes berkenaan, menurut majlis itu.

Hakim berkenaan berkata operasi itu menyusul selepas usaha gigih bagi mengesan hasil kewangan yang diperoleh menerusi penyelewengan dalam projek yang dikendalikan suspek serta individu lain yang terbabit dalam kes itu.

Wang tunai berkenaan diisi dan disembunyikan di dalam botol air plastik di rumah Al-Jumaili yang terletak di Tikrit, kata majlis itu.

Rampasan terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan aset yang disita dalam siasatan berkenaan mencecah 127 bilion dinar Iraq (kira-kira AS$97 juta) dan AS$24 juta wang tunai, selain hartanah, kenderaan serta emas yang dirampas.

Ia berkata, siasatan masih berjalan dan pihak berkuasa terus mengesan suspek lain sehingga semua prosedur undang-undang selesai.

Pihak berkuasa Iraq pada minggu lalu, mengumumkan penahanan berpuluh-puluh suspek dalam kes rasuah kewangan dan pentadbiran berskala besar, termasuk Ahli Parlimen serta pegawai kerajaan yang sudah dilucutkan imuniti undang-undang mereka.

Penahanan itu dibuat susulan kenyataan yang diperoleh semasa siasatan membabitkan Al-Jumaili, yang dipecat daripada jawatannya pada 2 Jun lalu atas dakwaan membazirkan dana awam dan menganugerahkan kontrak secara haram.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel