Isu 1BestariNet : SPRM sudah jumpa Maszlee Malik

Tarikh: 30/09/2024
img

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah berjumpa dengan bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik membabitkan isu 1BestariNet.

Menurut sumber, pertemuan itu dibuat oleh pegawai penyiasat kes pada minggu lalu.

"Pegawai penyiasat sudah berjumpa dengan Maszlee untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu ini (1BestariNet).

"Siasatan kes ini masih dijalankan termasuk tindakan SPRM mendapatkan dokumen berkaitan dan keterangan beberapa individu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lanjut berhubung kes masih dalam siasatan.

Pada 6 September lalu, media melaporkan kenyataan Maszlee bahawa isu membabitkan 1BestariNet menjadi antara faktor peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan pada Januari 2020.

Dalam pendedahannya itu, Maszlee memberitahu Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad memintanya berbuat demikian, di atas permintaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 26 September lalu, Azam dilapor memaklumkan siasatan dijalankan akan melihat kepada pembekalan data internet terhadap 8,000 sekolah di seluruh negara.

Azam dipetik berkata, mengikut kontrak 1BestariNet, perkhidmatan internet perlu dibekalkan kepada sekolah di seluruh negara mengikut kelajuan dan jumlah data yang ditetapkan.

Media sebelum ini melaporkan SPRM memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion.

Tender itu dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel