ALOR SETAR: Pengarah urusan syarikat pembekal baja yang direman bersabit isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di Kedah dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lelaki berusia 30-an yang sebelum ini direman empat hari sehingga semalam bagaimanapun dikehendaki melaporkan diri di SPRM Kedah setiap bulan dan perlu hadir sekiranya dipanggil untuk membantu siasatan.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan 13 saksi sudah dipanggil dan dirakam kenyataan membabitkan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Siasatan awal SPRM mendapati sepanjang musim terbabit, sebuah syarikat sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja, namun sehingga September ini hanya 333,655 beg baja dibekalkan, kekurangan 282,360 beg.
Kes aduan berkenaan dibuka 26 Ogos lalu berkait dakwaan kegagalan syarikat pembekal baja yang dilantik KPKM untuk membekal, menghantar dan mengedar Baja 3 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan MADA.
Sumber : Berita Harian Online