Isu gajah ke Jepun: SPRM semak dokumen MoU MPT

Tarikh: 08/07/2026
img

TAIPING: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Majlis Perbandaran Taiping (MPT) berhubung isu penghantaran tiga ekor gajah ke Tennoji Zoo, Osaka, Jepun setakat ini hanya membabitkan semakan dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara MPT dan pihak zoo.

Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan, berkata dokumen yang diminta SPRM berkaitan MoU penghantaran tiga ekor gajah, iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK), ke Jepun, manakala fokus utama siasatan seperti yang dilaporkan sebelum ini lebih menjurus kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

"SPRM ada meminta dokumen MoU antara MPT dengan zoo di Jepun. Namun, setakat ini, siasatan lebih banyak tertumpu kepada NRES," katanya selepas majlis pemeteraian MoU antara MPT, Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (BMOUIF) dan Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari, di sini, petang semalam.

MPT diwakili Mohamed Akmal, manakala BMOUIF diwakili Pengerusinya, Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad dan BMLR diwakili Pengarah Bukit Merah Resort Sdn Bhd, Md Nazri Tumin.

Media sebelum ini melaporkan SPRM membuka kertas siasatan terhadap empat agensi berhubung pemindahan tiga ekor gajah itu dengan memberi tumpuan kepada NRES, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), MPT serta ejen yang terbabit dalam urusan berkenaan.

Siasatan itu dibuat susulan gesaan Pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (HIDUP) pada 18 Jun lalu supaya SPRM menyiasat urusan pemindahan DAK berikutan dakwaan terdapat bayaran berkaitan urusan itu yang tidak disalurkan kepada kerajaan, selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Mohamed Akmal berkata kontroversi membabitkan penghantaran tiga ekor gajah ke Jepun tidak menghalang MPT menerusi Zoo Taiping untuk terus menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak luar bagi membangunkan sektor pelancongan, pendidikan dan konservasi.

Beliau berkata, pihaknya menghargai kesediaan BMOUIF dan BMLR untuk menjalin kerjasama walaupun Zoo Taiping berdepan persepsi negatif susulan isu berkenaan.

"Ketika cadangan kerjasama ini dikemukakan, saya memaklumkan bahawa nama Zoo Taiping kurang baik sejak April dan Mei lalu susulan kontroversi tiga ekor gajah itu. Saya bimbang jika MoU ini dimeterai, tempiasnya akan turut dirasai.

"Namun mereka memahami bahawa kerjasama ini adalah untuk tujuan yang betul dan demi meneruskan usaha konservasi," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel